(Lihat dahulu berita selepas di komen di bawah)
Pengauditan pengurusan kewangan adalah menjadi suatu keutaman dalam sesebuah pentadbiran negara. Kecekapannya menjadi lambang sebuah pentadbiran negara yang benar-benar cemerlang. Kecekapan dan sikap profesionalismenya akan menatijahkan banyak perkara yang baik, termasuklah pencegahan rasuah, pembaziran dan kelembapan aktiviti-aktiviti sesebuah organisasi kerajaan.
Pengauditan yang sebenar akan mengaudit bukan saja hal-hal kewangan, tetapi juga rancangan, kawalan, penilaian terhadap pencapaian di peringkat pengoperasian dan kawalan-kawalan lain yang melibatkan bagaimana sumber-sumber kewangan, kemudahan dan hasil negara digunakan dan dibelanjakan.
Kejayaan sesebuah pengauditan pengurusan kewangan bergantung sepenuhnya kepada kewibawaan mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas mereka. Lakaran hasrat dan tugas yang indah di atas kertas tidak akan bermakna selagi ianya tidak direalisasikan oleh pegawai-pegawai yang menjiwai tugasan mereka untuk mengaudit dengan kesedaran yang tinggi bahawa mereka adalah agen-agen penyelelamat khazanah negara. Mereka wajar bekerja dan bergerak dalam suasana yang bebas dari persekongkolan, sebarang campur tangan luar (hatta oleh seorang Perdana Menteri sendiri) dan dibenarkan sepenuhnya untuk menjalankan siasatan mereka dengan lancar tanpa sekatan dan halangan-halangan yang dibuat-buat oleh mereka yang diaudit.
Dalam masa yang sama, pegawai-pegawai tersebut wajar menyedari bahawa mereka sebagai agen-agen penyelamat khazanah negara berkewajipan melaksanakan siasatan mereka dengan adil tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
Kelihatan itu suatu bebanan (a tall order), tetapi itulah aras minima yang harus dipenuhi oleh mana-mana pasukan pengauditan.
Dalam menentukan keberkesanan kerja-kerja audit yang memastikan bahawa setiap sen wang negara (wang rakyat) dibelanjakan dengan betul, laporan-laporan oleh Jabatan Audit Negara wajarlah diteliti dan tindakan-tindakan susulan sepatutnya berlaku dengan segera, tanpa berlalu masa yang panjang. Itu juga bermakna bahawa tindakan yang bersepadu (integrated) di kalangan agensi-agensi kerajaan menjadi suatu keperluan yang tidak boleh disangkal – maka, perlu wujud kebersamaan dalam hasrat memelihara dengan baik harta dan khazanah negara dalam apa jua bentuknya. Maka tidak cukup hanya dengan mewujudkan Indeks Akauntabiliti Urus Kewangan Awam yang berasingan, memberi markah kepada organisasi-organisasi yang terlibat dan membiarkan laporan-laporan audit di selak-selak oleh orang lain, badan lain atau agensi lain, dan terpulang kepada mana-mana pihak untuk membuat tindakan susulan mengikut citarasa mereka.
Diskrepansi dan penyelewengan dalam prosedur peruntukan dan perbelanjaan kewangan mesti segera disiasat dan mereka yang bertanggungjawab juga segera disoalsiasat. Sebarang kelemahan, perbelanjaan yang melebihi had, sistem-sistem kawalan yang tidak dipatuhi serta kecenderongan berlakunya persekongkolan (collusion) yang akan mengakibatkan pembelotan dalam pengurusan kewangan yang tulus dan telus seharusnya pantas ditegur, diambil tindakan segera dan diperbaiki secara bersungguh-sungguh tanpa sebarang kelengahan.
Pada kebanyakan sistem kewangan, perbelanjaan yang besar melibatkan pegawai tertinggi, bahkan para Menteri sendiri (jawatan-jawatan tinggi kerajaan sudah lumrah adalah jawatan-jawatan lantikan politik, political appointments – dengan itu membawa beberapa implikasi atau stigma serta conflict of interests tentang pengurusan kewangan disesuatu organisasi). Sistem pengurusan kewangan yang baik adalah suatu sistem yang objektif, yang secara mudah, terus dan langsung boleh mengenal pasti individu-individu yang bertanggungjawab meluluskan sesuatu perbelanjaan, bahkan apa-apa perbelanjaan sekalipun. Prosedur yang jelas hanya perlu diikuti untuk menghasilkan laporan-laporan yang lengkap dan bersih dari sebarang syak-wasangka. Itulah sebenarnya fungsi sesebuah sistem pengurusan kewangan – menghilangkan syak-wasangka terhadap organisasi dan pegawai-pegawai yang terbabit dalam organisasi tersebut dalam urusan kewangannya – lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan wang dan harta rakyat.
Di samping itu, setiap sen peruntukan bajet negara boleh diselaraskan dengan perbelanjaan yang berlaku hingga ke akar umbinya.
Dengan itu, sistem pengurusan kewangan negara adalah antara sistem yang wajar diberi perhatian dalam rangka membasmi rasuah dan berbagai penyelewengan lain. Proses pengauditan kewangan membabitkan juga pengauditan kakitangan dan hubungan kerja antara mereka dalam memastikan kawalan kewangan adalah dalam status yang bebas dari sebarang prasangkaan buruk mengenai sistem kewangan sesbuah orgnisasi, kerana yang menjadikan sesuatu sistem kewangan itu seperti mana yang dikehendaki amat bergantung kepada kakitangannya yang memelihara amanah masing-masing. Kakitangan yang tidak amanah akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan prosedur dan ketetapan organisasi – lebih cenderong untuk terlibat dalam rasuah, merugikan organisasi dengan mencuri harta organisasi (harta rakyat dan negara), tidak menghiraukan pembaziran, menggunakan peralatan tanpa menghiraukan kesan jangkapendek dan jangkapanjangnya (dengan itu cepat rosak dan tidak boleh digunakan untuk menghasilkan produktiviti – terpaksa selalu dibaiki atau diganti baru), menggunakan kemudahan untuk persendirian (seringkali telefon dislahgunakan), berniaga dalam waktu pejabat, dan bermacam-macam lagi perkara-perkara yang negatif, yang kesemuanya melibatkan kerugian RM, produktiviti kerja yang menurun dan imej yang buruk terhadap organisasi. Sebaiknya, setiap organisasi, khususnya kerajaan-kerajaan tempatan dan perbadanan-perbadanan memaparkan kepada orangramai di premis mereka bajet kewangan dan kenyataan sebenar perbelanjaan dan pendapatan mereka setiap tahun.
Memahami tugasan yang banyak dan mencabar ini, sewajarnya Jabatan Audit Negara dilengkapi dengan state of the art information technology dan memiliki takungan pegawai-pegawai audit profesional yang berpengalaman, berintegriti dan matang serta kakitangan yang mencukupi untuk ditugaskan mengaudit ke seluruh negara. Sebaiknya, pengauditan dilakukan sepanjang masa, bukan secara bergilir setiap 3 tahun (banyak yang boleh berlaku [dan wang boleh jadi terpakai] dalam masa 3 tahun!)
Sistem pengurusan kewangan adalah sebahagian dari sistem yang menyeluruh yang mendasarkan agenda utamanya kepada kesejahteran rakyat. Kesejahteraan yang bukan hanya terletak kepada pemilikan material yang cukup tetapi kesejahteraan yang menyentuh keharmonian spiritual, mental dan emosi, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Ia kelihatan kompleks – tetapi bagi mereka yang sedar dan komitted dalam hasrat dan agenda yang sedemikian, bayangan sebuah negara yang sejahtera, disertai sebuah pengauditan kewangan negara yang hebat, adalah impian yang akan menjadi kenyataan suatu hari nanti. Apa yang perlu ialah perubahan kepada corak pemerintahan negara yang sedia ada kepada corak pemerintahan yang membenarkan pentadbiran negara di audit dengan bebas dan adil. Ketika ini, perkara itu BELUM berlaku kerana tiada keazaman politik di kalangan mereka yang memerintah untuk serta-merta menjadikan pengauditan bebas sebagai budaya dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.
Jika pemerintah tidak bersedia untuk berubah, maka RAKYATLAH yang wajib memastikan perubahan itu berlaku dengan memilih para pemimpin yang sedia berubah dan membawa perubahan dalam proses demokrasi, di pilihanraya akan datang.
————————————————————————————————————
Indeks akauntabiliti urus kewangan awam ditubuh
Oleh: HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 14 Sept. – Jabatan Audit Negara akan memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri-negeri bermula tahun depan.
Indeks itu, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (gambar), perlu dirujuk sebelum proses kenaikan pangkat para pegawai kanan kerajaan.
Beliau berkata, indeks tersebut merupakan antara syor yang dibuat oleh jabatan itu bagi mengelakkan berulang aktiviti salah urus dana awam seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.
Menurutnya, indeks akauntabiliti merupakan satu bentuk penilaian yang objektif ke atas semua kementerian dan kerajaan negeri dengan memberikan markah tertentu bagi menunjukkan sama ada pengurusan kewangan masing-masing baik atau sebaliknya.
“Jika mereka mendapat 90 markah dan ke atas, mereka akan diberikan empat bintang dan jika markah mereka di bawah daripada 15, mungkin mereka hanya dapat satu bintang.
“Rating tersebut akan membolehkan pengurusan sesebuah kementerian mengambil tindakan bagi membetulkan dan meningkatkan tahap mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Ambrin mengadakan sidang akhbar itu untuk membuat penjelasan selepas Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu mendapat perhatian media yang menggunakan laporan itu untuk mendedahkan pelbagai bentuk salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian.
Laporan tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengarahkan agar semua kementerian terbabit memberikan maklum balas mengenai persoalan yang ditimbulkan oleh Jabatan Audit Negara.
Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) bebas untuk menyiasat kementerian dan jabatan yang ditegur oleh Ketua Audit Negara berdasarkan maklumat yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Menurut Ambrin, laporan indeks akauntabiliti yang beliau cadangkan akan dibentangkan di Parlimen sepertimana Laporan Ketua Audit Negara.
Beliau mengingatkan, indeks tersebut perlu diberikan perhatian kerana ia akan memberikan kesan ke atas proses kenaikan pangkat atau penyambungan kontrak jawatan Ketua Setiausaha kementerian dan pegawai-pegawai atasan jabatan-jabatan kerajaan.
Melalui sistem baru itu, katanya, agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak akan terlepas daripada proses audit kewangan iaitu dengan melakukannya secara bergilir-gilir setiap tiga tahun sekali.
Ditanya mengapa laporan audit tahun lalu mendedahkan penemuan yang mengejutkan, beliau berkata, setiap tahun Ketua Audit Negara mengenal pasti pelbagai masalah tetapi tahun ini media memberi perhatian dan memilih untuk menyiarkan isu salah urus dana awam.
Bagaimanapun, tegas Ambrin, pihaknya tidak boleh menyatakan kementerian atau pegawai tertentu melakukan kesalahan berdasarkan laporan yang dikeluarkan itu.
“Semuanya telah kita nyatakan dalam laporan tersebut, anda bacalah dan kemudian buatlah kesimpulan anda,” katanya.
Pihaknya juga, kata beliau, tidak boleh menentukan tahap baik atau buruk sesebuah kementerian kerana Jabatan Audit Negara membuat pelbagai jenis audit, antaranya melibatkan kawalan pengurusan, kawalan bajet, kawalan terimaan, pengurusan pelaburan dan pinjaman serta pengurusan aset dan inventori.
Dalam hal ini, katanya, Jabatan Audit Negara tidak perlu membuat laporan kepada BPR kerana Badan Pencegah Rasuah itu mempunyai kuasa untuk membuat penyiasatan berdasarkan laporan audit tersebut.
Utusan online